KUALA LUMPUR:
Keputusan kerajaan untuk memperkenalkan dasar Memartabat Bahasa Melayu
dan Memperkukuh Bahasa Inggeris (MBMMBI) dan memansuhkan Pengajaran dan
Pembelajaran Sains dan Matematik dalam Bahasa Inggeris (PPSMI) harus
dihormati dan diterima baik semua pihak, kata Tan Sri Muhyiddin Yassin.
Timbalan
Perdana Menteri berkata ini kerana sistem pendidikan negara akan
menjadi kucar-kacir sekiranya kerajaan memberi kebebasan kepada ibu bapa
memilih bahasa pengantar untuk anak-anak mereka mempelajari sains dan
matematik di sekolah.
"Sukar
bagi Kementerian Pelajaran untuk merancang cara bagaimana sebuah
sekolah mahukan bahasa Inggeris, manakala yang sebuah lagi mahukan
bahasa Melayu dan bagaimana pula untuk menyediakan guru-gurunya.
"Pada
hari ini kita tahu sesetengah guru bahasa Inggeris kita pun tidak
berapa cekap...jadi kalau sesetengah sekolah nak bahasa Inggeris
(tetapi)sekolah itu tidak mempunyai guru Bahasa Inggeris yang baik
(maka) ia tidak akan tercapai," katanya kepada pemberita selepas
merasmikan Kongres Bahasa dan Persuratan Melayu VIII di sini, Sabtu.
Muhyiddin
yang juga Menteri Pelajaran memberi jaminan bahawa kepentingan
penguasaan bahasa Inggeris tidak akan diketepikan setelah PPSMI
dimansuhkan.
"Kita
sedar mungkin sebahagian daripada mereka itu menghendaki supaya kita
tidak mengetepikan bahasa Inggeris...mereka punya kebimbangan kalau
perubahan dasar ini bermakna bahasa Inggeris itu tidak diberikan
perhatian.
"Sebab
itu kita ubah dari PPSMI kepada MBMMBI kerana kedua-duanya ada...
bahasa Melayu untuk kita martabatkan dan bahasa Inggeris untuk kita
perkukuhkan," katanya.
Persatuan
Ibu Bapa Untuk Pendidikan Malaysia (PAGE) sebelum ini mendesak kerajaan
agar mengekalkan PPSMI dengan mendakwa bahawa ramai kalangan ibu bapa
mahu supaya PPSMI terus dikekalkan atau memberi pilihan kepada ibu bapa
yang masih mahu mengekalkan pembelajaran sains dan matematik dalam
bahasa Inggeris bagi anak-anak mereka.
Muhyiddin
juga percaya dasar MBMMBI yang dilaksanakan mulai tahun ini bagi murid
Tahun 1 melalui pengajaran dan pembelajaran Sains dan Matematik dalam
bahasa Melayu itu akan membuahkan hasil dalam tempoh beberapa tahun akan
datang.
"Saya
telah perkenalkan beberapa inisiatif, contohnya kita sudah ubah
kurikulum pembelajaran bahasa Inggeris di sekolah-sekolah secara yang
lebih menarik, lebih berkesan dan kita sudah tambah waktu
pembelajarannya daripada 240 minit kepada 300 minit seminggu.
"Kemudian kita bawa masuk guru-guru penutur jati yang sudahpun ditempatkan di seluruh negara sebagai 'Master Teacher'.
"Pendekatan
ini dilihat amat berkesan kerana mereka memantau guru-guru yang
mengajar bahasa Inggeris di sekolah-sekolah di seluruh negara.
"Kita
juga melatih lebih ramai guru di Institut Perguruan Malaysia iaitu
jumlahnya 10,000 guru yang nanti akan membimbing pembelajaran dalam
bahasa Inggeris," katanya. - BERNAMA
No comments:
Post a Comment