Soalan Rumusan 1:
Baca petikan yang diberi di bawah, kemudian buat satu rumusan tentang faedah-faedah menyertai Program Latihan Khidmat Negara (PLKN) dan langkah memperbaiki program ini. Panjang 120 patah perkataan.
____________________________________________________
Program
Latihan Khidmat Negara (PLKN) mula diperkenalkan di Malaysia pada tahun
2002. Pada setiap tahun, program ini dilaksanakan sebanyak dua kali
bagi membolehkan lebih ramai remaja menyertainya. Golongan remaja yang
diwajibkan untuk menyertai program PLKN ini adalah terdiri daripada
lepasan sekolah iaitu sebaik sahaja mereka menamatkan peperiksaan Sijil
Peperiksaan Malaysia. Dengan menyertai PLKN ini, para peserta akan dapat
mengisi masa lapang mereka dengan berfaedah sambil menunggu keputusan
peperiksaan. Dengan masa lapang yang sentiasa terisi, remaja akan
terhindar daripada melakukan jenayah yang tidak berfaedah seperti
menyertai perlumbaan motosikal haram, menyalahgunakan dadah, menyertai
kumpulan haram dan sebagainya.
Peserta PLKN adalah terdiri
daripada remaja pelbagai kaum. Di kem-kem PLKN, remaja tersebut yang
terdiri daripada remaja Melayu, Cina dan India ditempatkan di dalam satu
kawasan yang sama. Oleh itu penyertaan mereka dalam PLKN dapat menyemai
semangat perpaduan di antara pelbagai kaum. Semangat perpaduan ini amat
penting bagi membentuk Malaysia yang aman dan harmoni. Penyertaan
mereka dalam PLKN juga menggalakkan mereka untuk belajar berdikari tanpa
mengharapkan pertolongan daripada orang lain. Sebagai contohnya, mereka
dikehendaki untuk mengemas dan mencuci pakaian mereka sendiri ketika
berjauhan daripada keluarga. Hal seperti ini mungkin tidak akan berlaku
sekiranya golongan remaja tidak didedahkan dengan program PLKN.
Semasa
berada di kem latihan, pelbagai aktiviti menarik disediakan untuk
golongan remaja tersebut. Antaranya termasuklah ceramah, motivasi,
latihan ketenteraan dan sebagainya. Dengan cara ini, penyertaan mereka
akan dapat menanamkan semangat cinta akan negara kita. Program yang
diatur dikendalikan oleh jurulatih yang terdiri daripada pakar-pakar
alam bidang ketenteraan dan kepolisian. Oleh itu, tidak hairanlah
apabila sebahagian besar peserta yang ditemui menjelaskan bahawa
penyertaan mereka telah dapat meningkatkan semangat keyakinan dan jati
diri yang tinggi dalam diri mereka. Semangat seperti inilah yang perlu
sentiasa ada dan disemai dalam jiwa setiap remaja di negara kita. Hal
ini adalah amat penting memandangkan golongan remaja inilah yang bakal
menjadi pemimpin negara pada masa hadapan.
Selain itu, program
PLKN juga disertai oleh golongan remaja dari seluruh pelosok negara.
Peserta dari Perlis hinggalah Sabah dan Sarawak ditempatkan di dalam
beberapa buah kem latihan di seluruh negara. Dengan cara ini para
peserta yang menyertai program PLKN akan dapat mengenali di antara satu
dengan yang lain di samping dapat mempelajari pelbagai budaya yang
menarik. Hal seperti ini tidak mungkin dapat dirasai sekiranya remaja
tidak menyertai program PLKN sehingga ada golongan remaja yang bersikap
seperti “katak di bawah tempurung”. Dalam masa yang sama juga, para
peserta akan dapat mencari rakan-rakan yang baru dari seluruh negara
bagi bertukar-tukar pendapat. Mereka dapat berbincang mengenai perkara
yang berkaitan dengan pelajaran mahupun tentang isu-isu semasa.
Memandangkan
penyertaan remaja dalam program PLKN memberi pelbagai faedah, maka
golongan remaja tidak harus melepaskan peluang ini. Justeru, ibu bapa
pula tidak harus berasa bimbang ketika anak-anak mereka mengikuti
program ini kerana keselamatan mereka adalah terjamin. Mereka sentiasa
dikawal selia dan dijaga dengan baik oleh jurulatih yang sentiasa
komited dengan tugas dan tanggungjawab mereka.
____________________________________________________
Soalan Rumusan 2:
Rumuskan sebab-sebab berlakunya pencabulan bahasa kebangsaan dan usaha-usaha memperkasakannya. Panjang 120 patah perkataan.__________________________________________________
Sejak
berabad-abad dahulu, bahasa Melayu atau bahasa Malaysia telah
berkembang dan menggunakan istilah asing untuk memperkaya kosa katanya.
Malah sebelum era penjajahan, bahasa Malaysia telah meminjam istilah
daripada bahasa Sanskrit dan bahasa Arab. Perkembangan ini lebih ketara
apabila kita memasuki zaman teknologi maklumat. Dari sudut peminjaman
bahasa, kini kedudukan bahasa Malaysia agak kritikal kerana sebahagian
daripada bahasa asing sudah menodai kemurniannya. Kini semakin banyak
premis perniagaan dan swasta tidak peka terhadap penggunaan bahasa
kebangsaan yang betul.
Kebanyakan istilah dan kata yang
dipaparkan di premis tersebut menggunakan bahasa rojak. Perbuatan ini
memperlihatkan sikap tidak peka terhadap usaha untuk memertabatkan
bahasa Malaysia sebagai bahasa kebangsaan. Selain suasana di atas, kita
mendapati masih banyak papan tanda iklan yang menggunakan bahasa asing
atau bahasa kacukan. Tindakan tidak bertanggungjawab ini sedikit demi
sedikit mengikis dan melunturkan keistimewaan bahasa Malaysia sebagai
bahasa sanjungan rakyat negara ini. Sementara itu, pihak media pula
menyiarkan iklan yang mencampuradukkan penggunaan bahasa Malaysia dengan
bahasa Inggeris. Hal seperti ini akan mengelirukan golongan kanak-kanak
dan remaja sama ada sesuatu kata itu berasal daripada bahasa ibunda
mereka atau celupan bahasa asing.
Kesalahan penggunaan bahasa
Malaysia dapat dilihat dengan ketara menerusi khidmat pesanan ringkas
yang mediumnya ialah telefon bimbit dan ruangan sembang siber di
internet. Menerusinya, singkatan kata, lambang, angka atau kod tertentu
telah digunakan untuk menggantikan maksud sebenar lambang tulisan.
Makalah dalam majalah pun tidak mengendahkan kemurnian bahasa Malaysia
malah turut dirojakkan bahasanya secara sesuka hati. Selain itu,
penggunaan bahasa rojak juga telah digunakan secara meluas dalam akhbar
dan majalah. Penggunaannya telah tersebar ke dalam lubuk hati rakyat.
Bukan setakat itu sahaja, bahkan tajuk cerita dan drama, serta nama
kumpulan muzik menggunakan bahasa Inggeris juga. Dengan itu, jelaslah
bahawa wujud kalangan yang sengaja memperlekehkan bahasa sendiri atau
masih menganggap bahasa Malaysia tidak global sifatnya. Sikap ini ada
kaitannya dengan amalan pemujaan bahasa Inggeris sebagai bahasa
teknologi dan boleh membawa kemajuan kepada penggunanya.
Pada
masa ini, sebahagian daripada kita masih beranggapan bahawa tiada
undang-undang yang boleh diguna pakai secara berkesan bagi menyekat
kegiatan penyangak bahasa ini. Selain itu, bahasa Malaysia turut hilang
sebahagian daripada daya tahan apabila ada pihak yang beranggapan bahawa
bahasa Malaysia hanya milik orang Melayu. Anggapan seperti ini tidak
dapat membantu dalam kemajuan bahasa Malaysia sebagai bahasa Kebangsaan
yang menjadi lambang penyatuan rakyat negara ini.
___________________________________________________
Soalan Rumusan 3
Baca petikan di bawah dan buat satu rumusan tentang faktor-faktor yang menyebabkan penghijrahan dari luar bandar ke bandar dan kesan-kesannya. Panjang rumusan mestilah tidak lebih 120 patah perkataan.
____________________________________________________
Penghijrahan
bermaksud perpindahan penduduk dari satu tempat ke satu tempat yang
lain. Biasanya, golongan yang selalu berpindah ialah orang-orang muda
atau remaja yang baru tamat persekolahan. Kebanyakan remaja berpindah
dari kawasan luar bandar atau kampung menuju ke bandar besar seperti
Kuala Lumpur, Ipoh, Johor Bahru dan lain-lain.
Sebab atau faktor
utama mereka berhijrah ke bandar adalah disebabkan untuk mencari
pekerjaan yang lebih baik. Sektor pertanian di luar bandar iaitu
pertanian tidak menggalakkan remaja menceburi bidang ini. Remaja lebih
tertarik pada sektor industri atau perkilangan yang banyak terdapat di
bandar-bandar. Penghijrahan mereka ke bandar-bandar juga disebabkan
ingin mencari pendapatan yang lebih tinggi berbanding dengan pendapatan
yang boleh didapati di luar bandar. Justeru, faktor tarikan ini telah
menggalakkan lebih banyak penghijrahan jenis ini berlaku.
Bagi
golongan dewasa, kebanyakan mereka berpindah keluar dari kawasan luar
bandar adalah bagi meningkatkan taraf hidup masing-masing. Peluang
pekerjaan yang terhad biasanya menyebabkan pendapatan mereka rendah. Hal
seperti ini mengakibatkan berlakunya masalah penggangguran dan kadar
kemiskinan yang tinggi di kawasan tersebut. Bagi golongan pekerja pula,
penghijrahan mereka ke bandar selalunya disebabkan oleh arahan untuk
bertukar tempat kerja oleh majikan. Perpindahan seperti ini selalunya
berlaku di kalangan pekerja awam seperti polis, guru, pegawai kerajaan
dan lain-lain.
Memandangkan kawasan luar bandar masih kekurangan
kemudahan awam seperti pusat pendidikan tinggi, sebahagian penduduk dari
kawasan ini berhijrah ke bandar untuk melanjutkan pelajaran pada
peringkat yang lebih tinggi. Dasar awal kerajaan yang menempatkan
universiti di bandar-bandar besar seperti Universiti Malaya, Universiti
Kebangsaan Malaysia dan sebagainya, telah menggalakkan perpindahan jenis
ini berlaku. Bagi generasi kedua pula, mereka turut berpindah ke
kawasan bandar sama ada disebabkan oleh perkahwinan atau mengikut
keluarga yang berpindah. Fenomena seperti banyak berlaku di kebanyakan
negara-negara sedang membangun seperti Malaysia dan Indonesia.
________________________________________________
Soalan Rumusan 4:
Baca petikan di bawah dan rumuskan masalah perkembangan sistem jalan raya di negara kita dan langkah mengatasinya. Panjang ringkasan hendaklah tidak lebih 120 patah perkataan. Gunakan ayat anda sendiri.
_____________________________________________________
Sistem
jalan raya di negara kita semakin baik dari setahun ke setahun.
Perkembangan jalan raya di negara kita bermula sejak kedatangan British
ke Tanah Melayu iaitu bagi memudahkan pihak peperintah membawa keluar
hasil ekonomi negara. Antara hasil tersebut termasuklah bijih timah dan
getah yang menjadi keperluan utama penjajah ke Malaysia. Revolusi
perindustrian di Eropah menggalakkan negara tersebut merantau jauh bagi
mencari bahan untuk perkembangan industri mereka.
Menjelang
sekitar tahun 1970-an, perkembangan sistem jalan raya di negara kita
bertambah maju apabila beberapa batang lebuh raya utama dibina. Tujuan
pembinaan lebuh raya tersebut adalah bagi menampung kekurangan sistem
pengangkutan negara. Sebagai contohnya, kerajaan telah menswastakan
Lebuh Raya Utara Selatan dan Lebuh Raya Karak. Hal ini telah memudahkan
orang ramai di samping mengurangkan beban kewangan kerajaan.
Sama
juga dengan jalan kereta api di Malaysia, pembinaan jalan raya
menyebabkan pelbagai fenomena alam sekitar akibat penebangan hutan dan
jumlah kenderaan yang semakin bertambah. Banyak kawasan hutan diterokai
untuk dimajukan dengan sistem jalan raya. Kesannya berlakulah tanah
runtuh dan meningkatkan kadar hakisan. Jumlah asap yang dikeluarkan oleh
kenderaan juga secara langsung menggalakkan berlakunya pencemaran udara
di negara kita.
Memandangkan kebanyakan pengguna di Malaysia
kurang bertamnggungjawab, pembinaan jalan raya tersebut mengundang
kepada pelbagai masalah. Masalah paling serius ialah kadar kemalangan
jalan raya yang semakin meningkat dari semasa ke semasa. Banyak sudah
langkah dilaksanakan oleh kerajaan tetapi jalan raya masih menjadi
tempat yang kerap berlakunya kematian umum.
Kita masih mampu
berbangga kerana jalan raya di negara kita adalah antara yang terbaik di
Asia. Langkah meningkat mutu sistem jalan raya sering dilaksanakan oleh
pihak kerajaan untuk kemudahan orang ramai. Antara usaha tersebut
termasuklah membaiki kerosakan, menanam rumput di tebing jalan raya
serta menambahbaikkan kemudahan rehat dan rekreasi di seluruh jalan raya
di negara kita.
____________________________________________________
Soalan Rumusan 5:
Baca petikan di bawah dan buat satu rumusan tentang kesan pembangunan sektor perindustrian di Malaysia dan langkah mengatasinya. Gunakan ayat anda sendiri dan jangan lebih 120 patah perkataan.
____________________________________________________
Penekanan
kerajaan dalam usaha membangunkan sektor perindustrian adalah
disebabkan oleh daya saing yang berasaskan teknologi maklumat dan
komunikasi. Usaha kerajaan membangunkan bidang perindustrian di samping
melakukan penyelidikan dan pembangunan yang lebih giat membolehkan
sektor perindustrian memperbaiki keluaran yang sedia ada di samping
memperkenalkan produk baru yang lebih berdaya saing dalam pasaran.
Kerajaan
berusaha memperkukuh asas sektor pembuatan dengan membangunkan kelompok
industri teguh, dan memperkukuh perkhidmatan yang berkaitan dengan
pembuatan. Bagi mencapai tujuan itu kerajaan telah menyediakan insentif
bagi meningkatkan bidang perindustrian di Malaysia.
Perkembangan
sektor perindustrian tidak dapat mengelakkan masalah pencemaran alam
sekitar yang disebabkan oleh pembuangan sisa-sisa kilang secara tidak
terkawal daripada berlaku. Hakisan tanah dan juga banjir kilat berlaku
akibat pembukaan tanah untuk tujuan perindustrian. Kesihatan penduduk
setempat turut terancam akibat pencemaran udara. Sisa toksid turut
dibuang ke dalam sungai daripada kilang perindustrian, ladang dan kebun,
makmal, hospital dan sebagainya.
Pelbagai langkah dijalankan
untuk mengelakkan fenomena seperti ini daripada terus berlaku. Antaranya
dengan mengadakan sistem pembuangan sisa kilang dan sampah yang
sistematik serta selamat. Pihak berkuasa juga harus mengenakan hukuman
berat kepada pengusaha kilang yang membuang sampah atau sisa toksid yang
berbahaya. Pengusahaq kilang digalakkan agar memasang alat penapis
bahan kimia sebelum melepaskan asap ke atmosfera. Kawasan pelupusan
sampah yang diselia dengan rapi oleh pihak berkuasa tempatan atau pihak
swasta harus segera disediakan. Pendidikan dan kempen ”Cintai Alam
Sekitar” di sekolah atau di media massa bagi menyedarkan orang ramai
akan bahaya pencemaran alam sekitar harus diadakan dengan lebih kerap.
__________________________________________________
Soalan Rumusan 6:
Baca petikan dan buat satu rumusan tentang faedah pengiklanan di media masa dan masalah yang timbul. Panjang rumusan mestilah tidak melebihi 120 patah perkataan.____________________________________________________
Kini,
pengiklanan merupakan keperluan biasa dalam bidang mempromosikan
sebarang jenis pengeluaran. Setiap masa dan di mana-mana sahaja,
pengiklanan sudah menjadi satu trend yang memperlihatkan kepentingan
yang tidak dapat disingkirkan dalam aspek kehidupan masyarakat.
Jelasnya, pengiklanan dapat membantu pihak pengeluar untuk melariskan
hasil keluaran mereka kepada orang ramai. Secara tidak langsung,
penggunaan pengiklanan di media masa tersebut turut dapat mengurangkan
kos mempromosikan barang-barang keluaran seseorang. Hal ini bermula
sejak dahulu lagi iaitu apabila media masa mula berkembang pesat dan
kepentingannya diakui oleh masyarakat di seluruh dunia.
Antara
media masa yang menjadi tumpuan pengeluar untuk mempromosikan barangan
keluaran mereka ialah televisyen dan akhbar tempatan. Hal ini disebabkan
media tersebut mendapat liputan yang lebih meluas berbanding dengan
media masa yang lain. Seperkara yang menarik, pengiklanan yang dibuat di
media ini membolehkan sesuatu barangan dikenali oleh orang ramai di
seluruh negara. Pada masa yang sama keadah pengiklanan ini membolehkan
para pengguna membuat penelitian awal sebelum sesuatu pembelian dibuat.
Dengan itu, pengiklanan dapat membantu orang ramai agar mereka dapat
membeli sesuatu keluaran yang paling baik ataupun paling sesuai dengan
kehendak serta keperluan mereka.
Tidak menghairankan jika kajian
yang dijalankan menunjukkan bahawa hampir 80 peratus pengeluar barangan
di negara kita menggunakan kaedah pengiklanan di media masa untuk
melariskan jualan mereka. Hal ini berkait rapat dengan keperluan
pengguna bahawa mereka boleh membuat perbandingan dan meneliti kandungan
sesuatu barangan dengan baik. Melalui kajian yang dijalankan, pembelian
melalui iklan di media masa juga memberi kepuasan yang lebih tinggi
kepada pembeli, berbanding dengan pengguna yang membeli tanpa merujuk
pada iklan terlebih dahulu. Sementara itu, bagi pihak media pula mereka
dapat meningkatkan pendapatan berasaskan iklan yang disiarkan oleh media
mereka. Hal ini akan dapat membolehkan hasil pendapatan syarikat media
berterusan dan operasi syarikat media berjalan lancar.
Selain
itu, memandangkan keperluan syarikat media seperti televisyen untuk
mengadakan siaran langsung semakin meningkat, penyertaan syarikat
pengeluar dalam urusan pengiklanan adalah amat diperlukan. Dengan adanya
pendapatan yang diperoleh daripada pengiklan, sesuatu siaran langsung
akan dapat dilaksanakan. Sebagai contohnya, siaran langsung berkaitan
dengan sukan pada peringkat tempatan atau pada peringkat antarabangsa,
kerap mendapat bantuan kewangan melalui pengiklanan oleh syarikat besar
seperti Milo, Adidas dan sebagainya. Pada masa yang sama, syarikat
pengiklanan tumbuh seperti cendawan tumbuh selepas hujan. Secara tidak
langsuang, hal ini akan menyediakan peluang pekerjaan kepada orang ramai
khusus sebagai pelakon dan penyampai iklan.
___________________________________________________
Soalan Rumusan 7:
Baca petikan di bawah dan buat rumusan tentang punca-punca peningkatan jenayah di kalangan remaja serta langkah-langkah untuk mengatasinya. Panjang rumusan hendaklah tidak lebih 120 patah perkataan.
____________________________________________________
Berita
kematian seorang pelajar terbunuh akibat dibuli oleh sekumpulan pelajar
lain di sebuah sekolah berasrama baru-baru ini amat menyayat hati.
Walaupun begitu, kita dapat membuat kesimpulan awal bahawa kadar jenayah
dalam kalangan remaja di negara kita semakin meningkat. Hal ini amat
membimbangkan dan merupakan satu petanda bahawa sesuatu tindakan tegas
perlu dilaksanakan bagi mengekang perkara tersebut daripada terus
berleluasa. Dalam hal ini, peranan semua pihak sama ada ibu bapa, pihak
sekolah, masyarakat dan kerajaan perlu digembeling bersama.
Kajian
yang dilaksanakan oleh Kementerian Pelajaran pada tahun 2006
menunjukkan bahawa kebanyakan pelajar atau remaja yang terlibat dengan
gejala yang tidak sihat itu dipengaruhi oleh rakan sebaya yang negatif
ataupun ”orang luar”. Hal ini disebabkan remaja tidak dapat memilih
sesuatu perbuatan itu sama ada betul atau salah. Dalam beberapa hal yang
lain, masyarakat lebih mudah memperkatakan bahawa kesilapan ini adalah
disebabkan oleh kurangnya peranan ibu bapa dan pihak sekolah untuk
memberi didikan agama serta moral kepada golongan remaja. Sama ada benar
atau tidak, hal ini memang saling berkait rapat.
Selain itu,
pembabitan remaja dalam kejadian itu turut dikaitkan dengan sikap ibu
bapa. Ramai ibu bapa yang terlalu mengutamakan kerjaya serta wang
ringgit tanpa mengambil kira kepentingan keluarga. Keperluan harta benda
yang semakin meningkat menyebabkan ibu bapa melupai tugas mereka
sebagai penjaga kepada anak-anak mereka. Anak-anak yang kesunyian dan
kebosanan akan mudah terpengaruh dengan gejala yang tidak sihat apatah
lagi jika mereka tidak memiliki didikan agama yang sempurna. Ibu bapa
juga kurang memberi perhatian kepada perbuatan anak-anak yang kerap
melayari internet atau media masa yang lain. Masalah yang timbul ialah
ada media tersebut mempengaruhi remaja dengan unsur-unsur negatif yang
terdapat di dalamnya.
Menurut pegawai khas UNESCO pula,
kemungkinan besar jenayah dalam kalangan remaja di Asia adalah berkait
rapat dengan kadar kemiskinan yang tinggi dalam kalangan keluarga
remaja. Kemiskinan menyebabkan remaja terbeban dan kerap mengakibatkan
mereka terjebak dalam situasi yang tidak sihat. Beliau turut menambah
bahawa situasi ini akan bertambah buruk sekiranya keadaan keluarga
remaja tersebut tidak aman. Keadaan keluarga yang berpecah-belah seperti
pertengkaran ibu bapa atau perceraian mampu meningkatkan kadar jenayah
kepada golongan ini. Walaupun begitu, apa-apa jua pendapat yang diberi
oleh semua pihak, kesannya tetap membimbangkan kita. Proses pengajaran
dan pembelajaran di sesebuah institusi pendidikan bakal terjejas malah
perkara yang lebih membimbangkan kita ialah negara bakal kehilangan
tenaga muda serta pemimpin masa depan yang berkualiti. Justeru, hal ini
tidak boleh dipandang ringan atau dipandang dengan sebelah mata.
___________________________________________________
Soalan Rumusan 8:
Rumuskan kaedah mengukuhkan bahasa kebangsaan sesebuah negara dan masalah yang dihadapi. Panjang rumusan hendaklah tidak lebih 120 patah perkataan.
__________________________________________________
Setiap
Negara mempunyai bahasa rasmi atau bahasa kebangsaan mereka.Mereka
meletakkan bahasa mereka pada kedudukan atau taraf yang tinggi. Mereka
berasa amat bangga apabila mereka berjaya menggantikan bahasa penjajah
dengan bahasa mereka. Kedudukan taraf sesuatu bahasa itu ditentukan oleh
masyarakat dan juga kerajaan. Terdapat pelbagai cara negara di dunia
ini menentukan kedudukan bahasa mereka. Bagi Malaysia, Bahasa Melayu
mendapat kedudukan yang tinggi hasil daripada perjuangan rakyat. Apabila
mencapai kemerdekaan pada tahun 1957, Bahasa Melayu diangkat sebagai
bahasa kebangsaan dan bahasa rasmi pentadbiran negara. Dalam
perlembagaan juga dinyatakan bahawa Bahasa Melayu adalah bahasa rasmi
negara. Bagi masyarakat Melayu, mereka tentulah berasa bangga kerana
bahasa Melayu telah dijadikan salah satu bahasa utama negara.
Selain
itu kedudukan bahasa di sesebuah negara diperkukuh melalui akta-akta
yang digubal oleh kerajaan. Malaysia menggunakan Akta Pendidikan 1961,
Akta Bahasa, Akta Parlimen dan sebagainya untuk menetapkan kedudukan dan
fungsi bahasa Melayu di pelbagai peringkat. Di negara-negara Arab pula,
mereka tidak menghadapi masalah untuk menetapkan kedudukan bahasa
mereka kerana sebahagian besar penduduk di benua itu berbahasa Arab.
Selain itu bahasa Arab juga berkaitan dengan bahasa keagamaan. Bagi
orang Yahudi pula, bahasa Hebrew merupakan bahasa yang mulia dan
masyarakat Yahudi menjadikan bahasa tersebut sebagai bahasa rasmi
mereka.
Di Rusia pula, kerajaan sering menukar-nukar kedudukan
bahasa mereka. Oleh itu mereka sering menggunakan bahasa rasmi dan
kebangsaan yang berbeza. Mereka melakukan perkara tersebut bagi
mengelakkan pengaruh dari luar, terutama pengaruh negara-negara yang
berhampiran dengan Asia Barat. Oleh sebab mereka mempunyai bahasa yang
pelbagai, mereka sering menggunakan bahasa rasmi yang berbeza dengan
sistem tulisannya yang berlainan. Sebagai contohnya, bagi tujuan
penyatuan rakyat mereka pernah menggunakan bahasa Kazakstan dan Cyrylic.
Penentuan
kedudukan Bahasa Melayu juga pernah dilakukan melalui Mahkamah, dan
usaha ini telah berjaya. Sebagai contohnya usaha menubuhkan Universiti
Merdeka yang suatu masa dahulu dibahaskan, berjaya dihalangkan oleh
Mahkamah Agung. Mahkamah ini telah memutuskan bahawa penggunaan bahasa
lain selain Bahasa Melayu di universiti adalah dilarang. Kes seperti ini
juga berlaku di Kanada. Kes ini berlaku apabila persengketaan antara
pejuang Bahasa Perancis dengan pejuang Bahasa Inggeris semakin memuncak.
Apabila kes ini dibawa ke mahkamah, Mahkamah Agung Kanada membuat
keputusan bahawa bahasa rasmi Kanada ada dua iaitu Bahasa Inggeris dan
Bahasa Perancis.
Di negara Filipina pula, penentuan kedudukan
bahasa mereka dibuat melalui Dekri. Sebagai contohnya, mantan Presiden
Filipina iaitu Ferdinand Marcos telah mengeluarkan Dekri Presiden yang
menetapkan bahasa Sepanyol sebagai salah satu bahasa rasmi di Utara
Filipina. Penentuan kedudukan bahasa di sesetengah negara bukanlah
merupakan suatu perkara yang mudah. Masing-masing pihak menginginkan
bahasa kumpulan mereka diangkat menjadi bahasa kebangsaan atau bahasa
rasmi. Jelaslah bahawa pelbagai masalah telah timbul apabila pihak
kerajaan sesebuah negara ingin menentukan taraf atau kedudukan sesuatu
bahasa tersebut.
___________________________________________________
Soalan Rumusan 9:
Baca petikan di bawah dengan teliti kemudian buat satu rumusan tentang langkah-langkah untuk meningkatkan penggunaan teknologi maklumat di kalangan kakitangan kerajaan dan kesannya. Panjang rumusan hendaklah tidak melebihi 120 patath perkataan.
___________________________________________________
Kini
terdapat pendedahan oleh beberapa pihak bahawa ada kakitangna kerajaan
yang enggan menggunakan kemudahan teknologi maklumat di jabatan
masing-masin. Perkara seumpama ini tidak harus dibiarkan berterusan dan
kakitangan kerajaan yang terlibat harus memandang serius pendedahan
tersebut.
Menyedari hakikat ini, kerajaan
bertindak mengadakan pelbagai kempen kesedaran di kalangan kakitangan.
Kesannya, sebahagian kakitangan kerajaan mulai sedar akan kepentingan
teknologi maklumat dan telah berjinak-jinak menggunakan komputer. Mereka
mula mengubah sikap dan menganggap penggunaan teknologi maklumat bukan
lagi membebankan sebaliknya membantu mereka menghadapi cabaran dan
perubahan. Sementara itu, ketua-ketua jabatan pula mula mengenal pasti
kakitangan di jabatan masing-masing yang belum menguasai kemahiran
komputer ini dan merangka program untuk mendekatkan mereka dengan
alat-alat ini melalui pelbagai kursus.
Kita
faham bahawa terdapat sebahagian kakitangan kerajaan yang tidak begitu
positif pandangannya terhadap teknologi maklumat ini. Mereka lebih
selesa memnggunakan alat-alat dan cara lama. Menyedari hal ini, kerajaan
bertindak menggantikan peralatan lama dengan peralatan canggih dan
mereka terpaksa belajar menguasainya supaya dapat melaksanakan kerja
dengan mudah seperti orang lain. Di samping itu, kerajaan menggalakkan
penggunaan e-mail dalam urusan pentadbiran. Urusan pendaftaran,
pembayaran dan sebagainya yang dilakukan secara e-mail dapat menjimatkan
masa dan kos. Tindakan ini mendorong kakitangan kerajaan memahirkan
diri dengan internet.
Perkara ini perlulah
dipandang serius kerana keperluan teknologi maklumat dalam pentadbiran
sudah banyak dan lama dihebahkan oleh kerajaan. Sesiapa yang tidak
menyertainya sudah pasti akan ketinggalan. Keadaan ini akan menjejaskan
keupayaan daya saing negara dan menggagalkan usaha untuk mewujudkan
kerajaan elektronik. Dengan itu, tidak patut mana-mana kakitangan
kerajaan ketinggalan dalam perkembangan teknologi maklumat. Bagi
mengatasinya, kerajaan telah mula mengambil kakitangan baru yang
mempunyai kemahiran komputer.
Kerajaan
sudah melakukan pelbagai usaha besar untuk menyemai budaya teknologi
maklumat. Pada peringkat negara, usaha ini merangkumi penubuhan Koridor
raya Multi Media d an menggalakkan pemilikan komputer peribadi melalui
kelonggaran mengeluarkan simpanan Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP)
untuk tujuan tersebut. Negara sedar bahawa masa depan dunia terletak
pada pengnurusan maklumat, lebih-lebih lagi gagasan k-ekonomi
menghendaki peningkatan keupayaan teknologi maklumat di kalangan
masyarakat dan rakyat di negara ini. Selain itu, Unit Pemodenan
Pentadbiran dan Perancangan Pengurusan (MAMPU) telah merangka program
yang sesuai supaya kakitangan kerajaan menguasai teknologi maklumat.
Sesungguhnya kemakmuran masa depan negara terletak pada keupayaan
rakyatnya termasuk kakitangan kerajaan menguasai teknologi maklumat.
(Diubahsuaikan daripada Kakitangan Kerajaan Mesti Serius dengan IT, dalam Rencana Pengarang, Utusan Malaysia, 11 Disember 2000)
_________________________________________________
Soalan Rumusan 10:
Baca petikan dan rumuskan kesan-kesan penggunaan kad kredit dan langkah mengatasinya. Panjang tidak lebih 120 perkataan.
_________________________________________________
Penggunaan
kad kredit dalam kalangan masyarakat hari ini kian meningkat. Kad
kredit kini dianggap sebagai barang keperluan harian sama seperti
telefon bimbit.
Kelonggaran syarat yang diberikan oleh kerajaan dan
institusi perbankan membolehkan pengguna memiliki kad kredit dengan
lebih mudah.
Kajian melaporkan bahawa lebih 3.5 juta kad kredit
telah diedarkan di seluruh negara. Penggunaan kad kredit mewujudkan
masyarakat tanpa tunai yang dari segi keselamatannya lebih terjamin
kerana pengguna tidak perlu membawa sejumlah wang yang banyak dan
berisiko dirompak, kecurian, ragut atau tercicir ketika mahu berbelanja.
Pengguna juga boleh berbelanja tanpa mengeluarkan wang saku. Mereka
juga boleh membeli sekaligus barang yang berharga tinggi kerana kaedah
ini lebih mendapat kepercayaan daripada penjual. Bagaimanapun, pengguna
masih tertakluk kepada kad kredit yang diberikan ketika memohon.
Pengguna
hanya perlu menurunkan tandatangan di atas slip barangan atau
perkhidmatan yang dibeli dan bayaran akan dilakukan oleh pihak bank atau
syarikat kewangan sebagai pemegang akaunnya. Bayaran tidak semestinya
dilangsaikan sepenuhnya seperti jumlah yang digunakan tetapi boleh
dibayar secara ansuran. Pengguna terdorong berbelanja untuk mencukupkan
mata ganjaran bagi mendapatkan barangan atau hadiah. Walau bagaimanapun,
senario hutang tertunggak tidak boleh lari daripada penggunaan kad
kredit dan jika sekali tertunggak akan mempengaruhi bayaran bulanan yang
berikutnya kerana faedah akan bertambah.
Statistik menunjukkan
jumlah belian menggunakan kad kredit dilaporkan meningkat daripada RM
1710 juta kepada RM 2.8 billion dari tahun 1998 ke tahun 2000. Keadaan
ini menunjukkan langkah kerajaan untuk melonjakkan semula pertumbuhan
ekonomi telah berjaya menerusi aktiviti budaya berbelanja rakyat
Malaysia. Pelbagai faedah dan pakej tertentu diperkenalkan untuk menarik
pengguna memiliki kad kredit. Penggunaan ”wang plastik” tanpa tunai ini
mendorong seseorang berbelanja tanpa kawalan. Keadaan ini mendedahkan
pemilik kepada beban hutang yang melampau malah kegagalan membayar balik
boleh menyebabkan kedudukan dana institusio yang menguruskan pinjaman
kad kredit turut terjejas.
Kad kredit bukanlah aset untuk
menunjuk-nunjuk dan perlu digunakan hanya semasa kecemasan sahaja agar
perbelanjaan dapat dikawal. Rakyat perlu berfikir dengan matang ketika
menggunakan kad kredit demi masa depan mereka.
__________________________________________________
Soalan Rumusan 11:
Baca petikan di bawah dengan teliti dan kemudian buat satu rumusan tentang punca-punca mata pelajaran Pendidikan Jasmani diabaikan dan kepentingan mata pelajaran ini kepada pelajar. Panjang rumusan anda hendaklah tidak melebihi 120 patah perkataan.
__________________________________________________
Mengapakah negara kita menunjukkan pencapaian sukan yang
merosot dari semasa ke semasa? Kita dapat memberi jawapan yang paling
mudah, iaitu remaja di negara kita malas untuk melibatkan diri dalam
kegiatan sukan. Kenapakah hal ini terjadi? Salah satu punca yang dikenal
pasti ialah mata pelajaran Pendidikan Jasmani kurang diberi perhatian
di sekolah. Jika perkara ini dibiarkan, kita tidak akan dapat melahirkan
ahli sukan yang mampu mengharumkan nama negara pada suatu hari nanti.
Banyak pihak yang melahirkan rasa hairan tentang punca sebilangan besar
masyarakat kita kurang berminat untuk bersukan tetapi cukup gemar
menjadi penonton atau peminat fanatik bagi sesuatu jenis sukan.
Akar umbi masalah ini mungkin berpunca daripada kurangnya
minat murid terhadap mata pelajaran Pendidikan Jasmani. Minat yang
merudum di peringkat sekolah ini kemudian dibawa dalam kehidupan sosial.
Sebenarnya mata pelajaran ini adalah wajib dalam sistem pendidikan
kita. Mata pelajaran ini diajarkan dua kali seminggu di sekolah
menengah dan tiga kali seminggu di sekolah rendah. Masalah mata
pelajaran Pendidikan Jasmani yang sering dianggap sebagai mata pelajaran
sampingan bukanlah perkara atau isu baharu. Hal ini demikian kerana
terdapat guru yang mengambil waktu Pendidikan Jasmani untuk mengajarkan
mata pelajaran yang berkaitan dengan peperiksaan umum.
Guru menganggap bahawa mata pelajaran peperiksaan lebih
penting daripada mata pelajaran Pendidikan Jasmani. Oleh itu, mereka
menggunakan waktu mata pelajaran tersebut untuk menyediakan murid bagi
menghadapi peperiksaan. Murid pula beranggapan bahawa mereka dapat
memberi pelbagai alasan untuk mengelakkan diri daripada bersenam atau
bersukan. Walaupun mereka sedar bahawa mata pelajaran ini penting bagi
meningkatkan tahap kesihatan dari segi fizikal dan mental, namun sikap
malas dan menganggap bahawa mata pelajaran Pendidikan Jasmani tidak
penting mempengaruhi minda mereka. Tanpa kesihatan fizikal, seseorang
itu akan mengalami masalah dari segi mental. Pihak pentadbiran sekolah
pula sering meletakkan guru yang mengajarkan mata pelajaran Pendidikan
Jasmani sebagai pencukup jumlah waktu mengajar guru. Hal ini berpunca
daripada masalah kekurangan guru yang opsyen bagi mata pelajaran
tersebut. Guru yang terlibat dalam mata pelajaran ini pula memandang
rendah terhadap mata pelajaran ini kerana mata pelajaran ini tidak
mempunyai nilai dari segi peperiksaan umum.
Sistem persekolahan yang terlalu mementingkan pencapaian akademik juga
turut menjadi penyumbang terhadap punca-punca mata pelajaran ini
dianaktirikan. Para ibu bapa pula menganggap bahawa mata pelajaran ini
banyak membuang masa kerana murid telah diwajibkan menyertai kegiatan
kokurikulum yang lain pada luar waktu pembelajaran.
Jadi, cadangan Menteri Pelajaran Datuk Seri Hishamuddin Tun
Hussein bahawa pelajar sekolah rendah dan sekolah menengah akan
diwajibkan menduduki peperiksaan bagi mata pelajaran Pendidikan Jasmani
adalah satu langkah bagi membetulkan tanggapan ibu bapa, guru dan
pelajar bahawa sebenarnya semua mata pelajaran adalah penting. Di
samping itu, cadangan yang dikemukakan itu dapat dilihat sebagai usaha
untuk menyedarkan pelajar tentang kepentingan pembangunan sukan dan
sahsiah diri. Selain itu, usaha ini jika dilakukan dengan serius, dapat
mengurangkan bilangan pelajar gemuk di sekolah. Tegasnya, mata
pelajaran Pendidikan Jasmani memainkan peranan yang penting sebagai
landasan untuk mencungkil bakat atlet dari peringkat sekolah sebelum
meneruskan kerjaya mereka dalam bidang sukan. Kita berasa optimis bahawa
negara mampu melahirkan atlet yang berwibawa dan berjaya jika asasnya
bermula dengan baik di sekolah.
_________________________________________________
Soalan Rumusan 12:
Baca rencana di bawah dan buat satu rumusan tentang kepentingan hutan semulajadi di negara kita serta langkah-langkah untuk mengatasi kepupusan hutan. Panjang rumusan anda hendaklah tidak melebihi 120 patah perkataan.
__________________________________________________
Hutan semulajadi di negara adalah merupakan salah satu
daripada hutan yang tertua di dunia. Usianya yang melebihi 2 juta tahun
menjadi eset yang amat berharga kepada negara. Pelbagai jenis tumbuhan
dari jenis kayu keras terdapat di kawasan hutan ini seperti pokok
cengal, meranti, balau dan sebagainya. Secara tidak langsung keadaan ini
menggambarkan bahawa hutan amat perlu untuk diawasi agar tidak pupus
memandangkan hutan dapat menjadi daya tarikan kepada para pelancong
untuk melancong ke negara kita.
Dalam masa yang sama, tumbuhan semulajadi di negara kita turut menjadi
tempat pembiakan haiwan liar supaya tidak pupus. Haiwan utama yang
terdapat di sini termasuklah gajah, kuda, harimau dan beberapa spesies
lain yang tidak terdapat di negara lain. Menurut beberapa orang
pengkaji, keunikan haiwan ini mampu terus dikekalkan jika amalan
penjagaan hutan terus dijalankan. Dalam pada itu, penjagaan hutan juga
mampu menyediakan kawasan tadahan hujan yang luas serta sumber air
bersih untuk kegunaan penduduk. Sumber air daripada hutan ini masih
bersih kerana kebanyakan hutan di Malaysia masih belum tercemar.
Menurut seorang pengkaji biotumbuhan iaitu Professor K.L Jessey
dari Universiti John Hopkin Amerika Syarikat, tumbuhan semulajadi mampu
menyederhanakan suhu di sesebuah kawasan sehingga 5 darjah selsius.
Funfsi hutan ini bukanlah kecil memandangkan era pemanasan global
semakin kelihatan pada masa sekarang. Dalam masa yang sama, selain
berfungsi menyederhanakan suhu, hutan juga dapat mengawal kadar
pencemaran yang terlalu tinggi dengan menyerap gas-gas karbon monoksida
serta membebaskan gas oksigen ke dalam udara. Dengan cara ini, kandungan
udara menjadi lebih stabil dan bersih serta sesuai untuk kehidupan
manusia.
Di beberapa buah
kawasan hutan di Malaysia, terdapat juga beberapa kelompok masyarakat
yang tinggal di situ. Mereka menjadikan kawasan hutan sebagai tempat
tinggal mereka khususnya kaum asli di kawasan pedalaman. Apa yang
menarik, kebanyakan mereka masih mengamalkan ciri-ciri budaya tradisi
yang diwarisi sejak berkurun-kurun lamanya. Budaya masyarakat ini perlu
dikekalkan dan dikaji sebagai satu cara untuk mengekalkannya kepada
generasi yang akan datang.
Namun begitu, dalam kesibukan dan kegairahan kita mengejar kemajuan
hidup, kadang kala hutan turut menerima musibah yang nyata. Banyak
kawasan hutan di negara kita telah ditebang untuk pelbagai tujuan.
Antaranya adalah bagi tujuan pertanian, pembinaan kawasan petempatan,
perindustrian dan sebagainya. Justeru, jika hutan tidak dijaga dan
dikawalselia, tidak hairanlah jika satu hari nanti keluasan hutan di
Malaysia akan semakin berkurangan dan akhirnya pupus.
__________________________________________________
Soalan Rumusan 13:
Baca petikan di bawah dengan teliti dan kemudian buat satu rumusan tentang punca remaja bersikap liar dan langkah menanganinya. Panjang rumusan hendaklah tidak melebihi 120 perkataan.
________________________________________________
Alam remaja penuh dengan pancaroba. Pelbagai perkara yang
baik dan buruk sering melingkungi hidup mereka. Di negara kita kini,
masalah remaja liar mungkin belum dianggap begitu serius, namun
kebanyakan kes remaja liar atau kes jenayah dalam kalangan remaja
biasanya dikaitkan dengan penagihan dadah.
Kes kecurian sepatu di masjid atau di rumah-rumah pangsa
sudah dianggap kejadian biasa dan bukan sebagai satu keanehan lagi.
Sudah diketahui umum bahawa kebanyakan jenayah kecil seperti ini adalah
perbuatan penagih dadah yang gian dan tiada wang untuk membeli dadah.
Justeru, golongan ini sanggup mencuri dan barang curi tersebut dijual di
pasar malam.
Ternyata dadah
antara punca gejala sosial yang melibatkan para remaja. Oleh itu, jika
masalah dadah dapat diatasi, secara tidak langsung kebanyakan masalah
remaja liar mungkin turut dapat diatasi.
Masalah remaja nakal biasanya berpunca daripada ketiadaan
didikan moral atau agama. Kepincangan ini kian ketara akhir-akhir ini
kerana hubungan ibu bapa kian renggang dengan anak-anak mereka. Ibu bapa
sibuk dengan urusan masing-masing sehingga mengabaikan tanggungjawab
terhadap tanggungan mereka.
Para ibu yang dulu berperanan sebagai suri rumah dan pengasuh anak
sepenuh masa kini, lebih ramai yang keluar meninggalkan rumah untuk
bekerja. Oleh itu, anak-anak yang sudah remaja biasanya berasa kesunyian
di rumah. Menjelang petang mereka mencari kawan untuk bersembang atau
bermain bola atau sebagainya. Pengaruh kawan mudah menyeret mereka ke
lubuk dadah, menjadi kutu rayau atau terlibat dengan vandalisme.
Tanpa disiplin di rumah dan tanpa didikan agama atau akhlak,
golongan remaja hari ini lebih terdedah pada dorongan nafsu sendiri
hingga menjadi perogol atau penjenayah. Ternyata disiplin berkala dalam
program sekolah sahaja belum berjaya meninggalkan kesan yang mendalam,
kecuali disiplin sepenuh masa yang biasanya diadakan di sekolah agama.
Paling membimbangkan akhir-akhir ini golongan remaja muslim
semakin terdedah kepada pengaruh luaran yang berbau politik atau
bersifat anti akhlak, anti disiplin dan anti undang-undang. Media massa
juga dikatakan menjadi punca remaja bersikap liar kerana mereka
terpengaruh dengan adegan negatif yang dipaparkan. Ibu bapa pula tidak
mampu untuk menyekat anak-anak mereka daripada menonton apa-apa
rancangan yang disiarkan di kaca televisyen.