Monday, 27 February 2012

TEKNIK MENULIS RUMUSAN

TEKNIK MERUMUSKAN PETIKAN/ RENCANA
A. MENULIS PENGENALAN: 1. Tulis dan ubah perkataan daripada kunci kata soalan pertama sahaja. (tidak boleh ada perkataan ‘dan’ dalam pengenalan.
2. Mengubah maksud perkataan kunci kata pertama soalan:
* faktor = punca = sebab = penyebab = perkara yang mempengaruhi
* langkah = inisiatif = cara = kaedah = tindakan
* kesan = implikasi = kebaikan = keburukan = kesan positif = kesan negatif
* ciri = sifat = bentuk
* masalah = halangan = cabaran = kekangan

3. Contoh:
1. Rumuskan langkah-langkah mengatasi hakisan tanah dan faedahnya kepada masyarakat.
Pengenalan rumusan :
Rencana membincangkan cara-cara mengatasi hakisan tanah.

2. Buat satu rumusan tentang faktor yang menyebabkan berlakunya banjir kilat di kawasan Bandar dan implikasinya kepada pembangunan di kawasan Bandar tersebut.
Pengenalan rumusan :
Petikan membincangkan punca-punca yang menyebabkan berlakunya banjir kilat di kawasan Bandar.

3. Rumuskan ciri-ciri yang terdapat di dalam diri seorang pelajar cemerlang dan langkah melahirkan pelajar cemerlang. Panjang rumusan hendaklah tidak lebih 120 patah perkataan.

Pengenalan rumusan :
Rencana membincangkan sifat-sifat yang terdapat di dalam diri seorang pelajar cemerlang.


4. Baca petikan di bawah dan buat satu rumusan tentang kepentingan sektor pertanian kepada Negara kita dan langkah untuk memajukan sektor pertanian negara. Panjang karangan mestilah tidak melebihi 120 patah perkataan.
Pengenalan rumusan :
Rencana tersebut membincangkan faedah sektor pertanian kepada Negara.


5. Buat satu rumusan tentang keburukan makanan ringan kepada kanak-kanak dan cara-cara untuk mencegahnya. Panjang rumusan anda hendaklah tidak melebihi 120 patah perkataan.
Pengenalan rumusan :
Rencana tersebut membincangkan kesan negatif makanan ringan kepada kanak-kanak.



B. MENULIS ISI TERSURAT: 1. Isi jawapan berdasarkan kunci kata soalan yang pertama. (gunakan kunci kata dalam soalan. Jangan ubah)
2. Isi hanya yang terdapat dalam petikan sahaja.
3. Beri maksimum 6 isi. (Jumlah isi tersurat dan tersirat ialah 8 isi)
4. Jika kurang isi tersurat, jangan panik. Tambah isi tersirat anda.
5. Jika jumlah perkataan masih kurang 120 perkataan, anda digalakkan tambah isi tersurat.
6. Pastikan maksimum 2 isi dalam satu ayat. SEBAIK-BAIKNYA 1 isi dalam I ayat.
7. Gunakan penanda wacana untuk menggabungkan setiap ayat.

8. Contoh penggunaan ayat:

Contoh 1: Rumusan yang baik.(Katakanlah faktor banjir kilat)

-Faktor utama yang menyebabkan banjir kilat ialah keadaan longkang yang tersumbat.
-Selain itu, faktor yang lain termasuklah kurangnya kadar serapan air di kawasan bandar.
-Sementara itu, hujan lebat yang berterusan juga turut menjadi faktor fenomena tersebut.
-Terdapat juga faktor kurangnya sistem perangkap sampah di kawasan sungai berhampiran.
-Di samping itu, kekurangan tumbuhan di bandar menyebabkan banjir kilat terjadi.
-Faktor penyebab yang terakhir ialah hakisan tanah yang dihasilkan oleh pembinaan di Bandar.

Contoh 2 : Rumusan kurang baik. (akan ditolak 1 markah bahasa)
-Faktor pertama yang menyebabkan banjir kilat ialah keadaan longkang yang sempit.
-Faktor kedua ialah kurangnya kadar serapan di kawasan bandar.
-Faktor ketiga ialah hujan lebat yang berterusan di bandar.
-Faktor keempat ialah kekurangan tumbuhan di bandar.
-Faktor terakhir ialah hakisan tanah dari kawasan pembinaan.

9. JANGAN gunakan perkataan ‘harus/ patut/ mesti/ wajib/ hendaklah/ wajarlah’ dan lain-lain yang berbentuk cadangan. (Tiada markah diberi jika perkataan ini digunakan)
Salah : Langkah mengatasinya ialah kerajaan harus menguatkuasakankan undang-undang.
Sepatutnya : Langkah mengatasinya ialah kerajaan menguatkuasakan undang-undang.

Salah : Selain itu, kerajaan harus mengenakan denda yang tinggi kepada pesalah trafik.
Sepatutnya : Selain itu kerajaan mengenakan denda yang tinggi kepada pesalah trafik.

10. Contoh :
Contoh 1 :Rumuskan faktor kemalangan jalan raya dan langkah mengatasinya.

"Kemalangan jalan raya kerap berlaku di lebuh raya. Hal ini telah banyak menyebabkan kehilangan nyawa dan kerugian harta benda. Kejadian seperti ini perlu dibendung dan sikap orang ramai menjadikan jalan raya sebagai tempat berlumba-lumba harus disekat. "

Isi tersurat :
-Faktor yang menyebabkan berlakunya kemalangan jalan raya ialah sikap orang ramai menjadikan jalan raya sebagai tempat berlumba-lumba.
Contoh 2 : Rumuskan kesan-kesan kemajuan teknologi kepada negara dan masalah yang dihadapi.

"Banyak kemajuan tercapai apabila manusia memperkenalkan sains dan teknologi. Pelbagai jenis ciptaan turut dihasilkan sehingga menyebabkan tugas yang dilaksanakan oleh orang ramai menjadi lebih mudah."

Isi tersurat :
- Selain itu, kesan kemajuan teknologi kepada negara ialah tugas yang dijalankan oleh orang ramai menjadi lebih mudah.
Contoh 3 : Rumuskan ciri-ciri tanaman kontan di negara kita dan kepentingannya.

"Antara tanaman kontan tersebut termasuklah getah dan kelapa sawit. Tanaman ini banyak ditanam di sini kerana tanah lateritnya yang subur. Hasil tanaman ini adalah digunakan untuk jualan yang memberi keuntungan kepada negara."

Isi tersurat :
- Ciri-ciri pertanian kontan yang lain termasuklah digunakan sebagai jualan bagi memberi keuntungan kepada negara.
Contoh 4 : Rumuskan kesan negatif kafe siber dalam kalangan remaja dan langkah mengatasinya.
"Umum mengetahui perkembangan kafe siber begitu pesat sehingga seperti cendawan tumbuh. Banyak pihak berpendapat bahawa perkembangan ini amat wajar bagi meningkatkan kemajuan IT dalam kalangan penduduk. Namun segelintir kecil menentangnya dengan alasan bahawa tempat ini akan menjadi tempat berkembangnya gejala sosial dalam kalangan remaja. "

Isi tersurat :
- Kesan negatif yang terakhir ialah kafe siber akan menjadi tempat berkembangnya masalah sosial dalam kalangan masyarakat.

C. MENULIS ISI TERSIRAT: 1. Berdasarkan kunci kata soalan yang kedua.
2. Isi bahagian ini perlu anda fikir sendiri dan bukan diambil dari petikan juga.
3. Jika isi tersirat yang anda fikirkan sudah ada dalam petikan juga, jangan ambil sebagai isi anda.
4. Penggunaan ayat dan penanda wacana adalah sama dengan isi tersurat.
5. Jumlah minimum ialah 2 isi tetapi jika isi tersurat kurang, bahagian isi ini perlu ditambah.
6. JANGAN gunakan perkataan ‘harus/ patut/ mesti/ wajib/ hendaklah/ wajarlah’ dan lain-lain yang berbentuk cadangan. (Tiada markah diberi jika perkataan ini digunakan)

7. Contoh :
Contoh 1 : Rumuskan kesan-kesan kemajuan teknologi kepada negara dan masalah yang dihadapi.

"Banyak kemajuan tercapai apabila manusia memperkenalkan sains dan teknologi. Pelbagai jenis ciptaan turut dihasilkan sehingga menyebabkan tugas yang dilaksanakan oleh orang ramai menjadi lebih mudah."

Isi tersirat :
- Masalah yang dihadapi dalam menyebarkan kemajuan teknologi ialah kekurangan pakar yang mampu memberi perkhidmatan dalam bidang ini kerana masih baru di negara kita.
Contoh 2 : Rumusan tentang kepentingan sektor pertanian kepada negara kita dan langkah untuk memajukannya.
Isi tersirat :
-Langkah untuk memajukan sektor pertanian yang seterusnya ialah kerajaan memberi kemudahan subsidi baja kepada para petani.
Contoh 3 : Rumuskan faktor kemalangan jalan raya dan langkah mengatasinya.
"Kemalangan jalan raya kerap berlaku di lebuh raya. Hal ini telah banyak menyebabkan kehilangan nyawa dan kerugian harta benda. Kejadian seperti ini perlu dibendung dan sikap orang ramai menjadikan jalan raya sebagai tempat berlumba-lumba harus disekat."

Isi tersirat :
- Langkah mengatasi kemalangan jalan raya yang terakhir adalah dengan menguatkuasakan undang-undang jalan raya kepada pemandu yang menyalahi peraturan di jalan raya.

Contoh 4 : Rumusan tentang keburukan makanan ringan kepada kanak-kanak dan cara-cara untuk mencegahnya.
Isi tersirat :
- Untuk mengatasi masalah ini, langkah lain ialah ibu bapa memberi didikan agar anak-anak memilih makanan yang seimbang.

D. MENULIS PENUTUP / ULASAN: 1. 3 aspek perlu ditulis iaitu:
i. siapa bertindak ii. apa tindakan iii. tujuan tindakan
2. Ayat mesti mengandungi perkataan berikut:
i. Kesimpulannya / Oleh itu / Justeru / Maka / Jadi
ii. harus / patutlah / mestilah / wajarlah / harus / patut
iii. supaya / agar
3. Ayat seharusnya berbunyi begini :

Contoh 1 :
Kesimpulannya, (siapa bertindak) harus (apa tindakan) agar (tujuan tindakan).

Contoh 2 :
Oleh itu, (siapa bertindak) harus (apa tindakan) agar (tujuan tindakan).

4. Contoh jawapan ulasan rumusan anda:
Contoh 1 :
Rumuskan faktor penyalahgunaan dadah dan langkah membanterasnya.

Ulasan rumusan:
Kesimpulannya, kerajaan dan masyarakat harus berganding bahu agar masalah penyalahgunaan dadah dapat diatasi.
Contoh 2 :
Buat rumusan tentang ciri makanan seimbang dan kebaikan makanan tersebut.

Ulasan rumusan:
Oleh itu, ibu bapa harus mendidik anak-anak mereka agar bijak memilih makanan yang seimbang.

Contoh 3 :
Rumuskan inisiatif untuk menggalakkan pelajar membaca dan masalah yang dihadapi.


Ulasan rumusan:
Oleh hal yang demikian, para pelajar patut bijak memilih buku yang dibaca agar mendapat pengetahuan yang berfaedah.
Contoh 4 :
Rumuskan faedah penggunaan Bahasa Inggeris dalam sains dan matematik serta permasalahannya.


Ulasan rumusan:
Kesimpulannya, para pelajar haruslah menggunakan bahasa Inggeris dalam pembelajaran mata pelajaran tersebut agar mutu bahasa Inggeris mereka dapat dipertingkatkan.

No comments:

Post a Comment

Post a Comment