Monday 27 February 2012

KATA ADJEKTIF

KATA ADJEKTIF

1. MAKSUD :
Kata sdjektif ialah perkataan yang menunjukkan atau menerangkan ‘sifat’ bagi sesuatu perkara.

2. JENIS KATA ADJEKTIF:
i. Kata adjektif untuk manusia : berani, gemuk, garang, cantik
ii. Kata adjektif untuk binatang : liar, comel, garang
iii. Kata adjektif untuk benda : mahal, besar, laju, tebal
iv. Kata adjektif untuk perkara : penting, adil, tinggi
v. Kata adjektif untuk masa : siang, pagi, malam, subuh
vi. Kata adjektif untuk warna : hitam, terang, malap, suram

3. KAITANNYA DENGAN KATA PENGUAT:


a. ‘Kata penguat’ digunakan untuk mengukuhkan sesuatu sifat bagi sesuatu perkara.
b. Contoh : sangat cantik, begitu berani, kejam betul, mahal sekali.
c. Jenis kata penguat:
i. Penguat hadapan : kata penguat yang hanya boleh digunakan di hadapan kata
adjektif.
Contoh : terlalu, paling, begitu
ii. Penguat belakang : kata penguat yang hanya boleh diletakkan di belakang kata
adjektif.
Contoh : sekali, benar, betul
iii. Penguat bebas : kata penguat yang boleh diletakkan di hadapan atau di
belakang kata adjektif.
Contoh : sangat, amat, sungguh

4. APAKAH KATA EDJEKTIF EMOSI (PERASAAN)?
a. Kata adjektif emosi ialah sifat dalaman yang melibatkan ‘perasaan’.
b. Contoh : marah, sayang, kasih, cinta, rindu, bimbang, risau, cemas

5. KESALAHAN PENGGUNAAN KATA ADJEKTIF:

i. Satu kata adjektif hanya boleh ada satu kata penguat sahaja. (gunakan salah satu sahaja)
Salah:
-Sungai yang paling panjang sekali di sini ialah Sungai Pahang.
-Hadiah yang terlalu bernilai sungguh bagi saya ialah kereta
 Betul:
-Sungai yang paling panjang di sini ialah Sungai Pahang.
-Sungai yang panjang sekali di sini ialah Sungai Pahang
-Hadiah yang terlalu bernilai bagi saya ialah kereta.
-Hadiah yang bernilai sungguh bagi saya ialah kereta.

ii. (kekecualian) Kata penguat bebas sahaja boleh digunakan dua untuk satu kata adjektif. (iaitu ‘sangat, amat dan sungguh’ di hadapan; serta ‘sekali’ di belakang)
Betul:
-Makanan itu sungguh murah sekali harganya.
-Kereta itu amat mahal sekali harganya.
-Guru itu sangat rajin sekali membantu kami

iii. Kata adjektif berimbuhan ‘ter….’ tidak boleh diletakkan kata penguat. (kecuali untuk perkataan ‘terkenal’)
Salah:
-Rumah yang terbesar sekali ialah rumah Abu Bakar.
-Kejayaan itu adalah sangat terbesar kepada saya.
Betul:
-Rumah yang terbesar ialah rumah Abu Bakar.
-Rumah yang besar sekali ialah rumah Abu Bakar.
-Kejayaan itu adalah terbesar kepada saya.
-Kejayaan itu adalah sangat besar kepada saya.

iv. Kata adjektif emosi yang tidak berimbuhan, mesti diikuti dengan ‘kata hubung’ atau ‘kata sendi’ jika hendak dipanjangkan. (‘akan, kepada, dengan’ dan lain-lain)
Salah:
-Ali sangat rindu ibunya di desa.
-Kami terlalu marah sikap pemalunya itu.
Betul:
-Ali sangat rindu akan ibunya di desa.
-Kami terlalu marah dengan sikap pemalunya itu.

v. Kata adjektif emosi tidak boleh berakhiran dengan ‘kan’.
Salah:
-Dia amat marahkan anaknya yang nakal itu.
-Siti begitu sayangkan kakak sulungnya.
Betul:
-Dia amat marah akan anaknya yang nakal itu.
-Siti begitu sayang akan kakak sulungnya.
.
vi. Jika kata adjektif sudah digandakan, kata penguat tidak boleh digunakan.
Salah:
-Rumah di situ besar-besar sekali.
-Pokok kelapa itu sangat tinggi-tinggi.
Betul:
-Rumah di situ besar-besar.
-Rumah di situ besar sekali.
-Pokok kelapa itu tinggi-tinggi.
-Pokok kelapa itu sangat tinggi.

vii. Jika kata adjektif sudah digandakan, kata nama yang bersangkutan dengan kata adjektif itu tidak boleh digandakan juga. (pilih salah satu sahaja digandakan)
Salah:
-Anak-anak Encik Rajoo pandai-pandai semuanya.
-Ikan-ikan yang dijual itu murah-murah harganya.
Betul:
-Anak Encik Rajoo pandai-pandai semuanya.
-Anak-anak Encik Rajoo pandai semuanya.
-Ikan yang dijual itu murah-murah harganya.
-Ikan-ikan yang dijual itu murah harganya.

viii. Kata adjektif yang berimbuhan ‘ter…’ tidak boleh dijadikan ‘pradikat tunggal’ atau ‘pradikat yang pertama’. (tambahkan ‘lah yang’ atau gunakan kata penguat)
Salah:
-Pelajar itu terpandai.
-Pelajar itu terpandai di tingkatan tiga.
Betul:
-Pelajar itulah yang terpandai.
-Pelajar itu paling pandai.
-Pelajar itulah yang terpandai di tingkatan tiga.
-Pelajar itu paling pandai di tingkatan tiga.

No comments:

Post a Comment