MELAKA, 13 Okt — Bahasa Melayu mempunyai keistimewaan dan kekuatan tersendiri sebagai bahasa kebangsaan dan antarabangsa jika ianya dimartabatkan sebaik mungkin, kata Profesor Wu Zongyu yang dinobat sebagai Tokoh Pejuang Bahasa Melayu Antarabangsa.
Beliau yang
merupakan Pengarah Pusat Pengajian Melayu Universiti Pengajian
Bahasa-bahasa Asing Beijing (BFSU) berkata, rakyat negara ini perlu
mengagungkan budaya dan memartabatkan bahasa Melayu seiring dengan
perkembangan ekonomi kerana pengaruh bahasa itu semakin terserlah dari
sehari ke sehari.
“Jika
bahasa Melayu boleh merapatkan dua negara seperti Indonesia dan
Malaysia, ia juga berupaya menyatupadukan rakyat yang berbilang kaum di
negara ini sekali gus dapat menjana perkembangan dan kestabilan ekonomi
dan politik yang lebih baik.
“Kita
dapat lihat juga bahawa kepentingan bahasa Melayu ini semakin hari
semakin terserlah di mana rantau yang menggunakan bahasa ini semakin
maju dan pesat membangun dari segala segi,” katanya dipetik Bernama Online.
Beliau
menerima anugerah tersebut pada majlis pelancaran Bulan Bahasa
Kebangsaan 2011 peringkat kebangsaan oleh Timbalan Perdana Menteri Tan
Sri Muhyiddin Yassin di Universiti Teknikal Malaysia Melaka (UTeM) di
sini hari ini.
Beliau menerima RM50,000, buku terbitan Dewan Bahasa dan Pustaka serta Watikah Penghargaan Negara.
Penganugerahan
tersebut sebagai menghargai dan mengiktiraf tokoh bahasa dan pengajian
Melayu dari luar rumpun dunia Melayu yang berjaya meningkatkan martabat
bahasa dan persuratan Melayu di peringkat antarabangsa melalui kerjasama
pakar dan aktiviti sedunia dalam bidang penyelidikan, penerbitan,
promosi dan pelbagai kegiatan kebangsaan.
Mengenai
perjuangan beliau memartabatkan bahasa Melayu di peringkat antarabangsa,
tokoh bahasa yang berusia 72 tahun itu berkata beliau amat gembira dan
terharu apabila usahanya itu diterima baik dan diperakui di peringkat
antarabangsa.
“Saya belajar bahasa Melayu dan mendekati jiwa bangsa Melayu kerana saya amat minat dengan budaya Melayu dan tamadun Melayu.
“Ini akan menjadi usaha berterusan saya selagi termampu dalam usaha untuk memartabatkan bahasa negara kerana saya percaya bahasa ini mampu mengubah sesuatu bangsa dan negara itu,” katanya.
Wu juga
diberi gelaran Laksamana Cheng Ho Kedua kerana peranannya dalam menjalin
dua tamadun besar iaitu Melayu dan China dan merupakan individu yang
bertanggungjawab memperkenalkan bahasa Melayu versi Tanah Melayu di
China iaitu dengan menubuhkan Jurusan Bahasa Melayu di BFSU pada 1962.
Kejayaan
besar beliau dalam mengembangkan Pengajian Melayu di China adalah dengan
penubuhan dua Kursi Pengajian Melayu yang seterusnya membawa
peningkatan program ilmiah termasuk penubuhan program pascasiswazah di
tujuh buah universiti di negara itu.
Beliau yang
dilahirkan di Shanghai, telah dianugerahkan Ijazah Kehormat Doktor
Persuratan pada majlis konvokesyen ke-50 Universiti Malaya pada 3
Oktober lalu.
No comments:
Post a Comment