Saturday 10 March 2012

Kepelbagaian Fungsi Perkataan “Dalam”

Secara umumnya perkataan dalam tergolong sebagai kata adjektif. Namun demikian banyak penggunaan yang  tidak menyedari bahawa perkataan dalam mendukung tiga jenis kata dalam bahasa Melayu bergantung pada kedudukan dalam ayat. Lihat-ayat-ayat tersebut seperti yang di bawah ini:

1. Dalam hal ini, saya berpendapat bahawa kita mesti bertindak dengan segera.
2. Perigi yang terletak di tepi sawah itu sangat dalam.
3. Ketiga guru disiplin sampai, hanya mereka berdua berada di dalam bilik kelas itu.

Dalam ayat (1), (2) san (3) di atas, perkataan dalam ayat pertama ialah kata tugas, iaitu kata sendi nama. Hal ini dikatakan demikian kerana kita tidak boleh meletakkan kata penguat, kata bantu atau kata bilangan untuk mendampingi kata berikut seperti sangat dalam hal ini, telah dalam hal ini, atau lima dalam hal ini.

Perkataan  dalam ayat (2) sememangnya dapat disertai oleh kata penguat. Oleh itu, kata tersebut ialah kata adjektif.

Dalam ayat (3) pula, perkataan dalam ialah kata nama arah yang bermaksud ruang. Perkataan ini dikatakan kata nama kerana perkataan ini hadir selepas kata sendi. Selain itu, kata nama hadir selepas kata sendi nama. Dalam Bahasa Melayu, selain kata bilangan sebagai penentu kata nama, kata sendi juga boleh menjadi penentu bagi kata nama. Tegasnya, kata dalam dalam ayat (1) ialah kata sendi, dalam ayat (2) kata adjektif dan dalam ayat (3) ialah kata nama arah.

Kesalahan yang sering dilakukan oleh pengguna bahasa ialah bahawa mereka menggunakan perkataan dalam sebagai kata hubung seperti ayat (4) dan (5) yang di bawah ini:
4. Ibu bapa memainkan peranan yang penting dalam menyelesaikan masalah yang berlaku dalam keluarga.
5. Semua calon mestilah berhati-hati dalam menjawab solan Kertas 1 Bahasa Melayu SPM.

Penggunaan perkataan dalam dalam kedua-dua ayat tersebut tidak betul. Perkataan yang tepat ialah untuk dan ketika seperti yang berikut:

 4a.   Ibu bapa memainkan peranan yang penting untuk menyelesaikan masalah yang berlaku   dalam keluarga.
 5a. Semua calon mestilah berhati-hati ketika menjawab soalan Kertas 1 Bahasa Melayu SPM.

Kesimpulannya, pengguna atau pelajar mestilah mengenali kelas kata atau fungsi perkataan dalam semasa menggunakan perkataan tersebut. Kesilapan yang dilakukan oleh pengguna bahasa ialah bahawa mereka menggunakan perkataan dalam di tempat kata hubung untuk dan ketika. Oleh itu, semua pengguna hendaklah berhati-hati ketika menggunakan perkataan dalam kerana perkataan dalam bukan kata hubung.

Sumber:  Cikgu Ghalib Yunus, Berita harian

No comments:

Post a Comment