Program Pembudayaan Bahasa mampu memperkasa jati diri
“Penggunaan
bahasa Melayu sebagai bahasa pengantar utama bersama-sama dengan bahasa
etnik seperti Mandarin dan Tamil sebagai bahasa pengantar sampingan
dipercayai dan diyakini dapat membentuk 1Semangat Kebangsaan dan 1Jati
Diri Nasional, yang lebih menyeluruh sifatnya dalam kalangan rakyat
Malaysia”
“Bahasa lambang negara, bahasa budaya kita, bahasa kebanggaan bangsa, buktikan taat setia…”
Demikian
antara bait lagu yang jelas menggambarkan bahawa bahasa Melayu yang
merupakan bahasa kebangsaan dan bahasa rasmi negara adalah lambang jati
diri setiap rakyat yang mengaku sebagai Anak Malaysia. Menerusi bahasa
Melayu perpaduan antara kaum dapat dicapai dan perkara ini telah
dibuktikan setelah tercetusnya peristiwa 13 Mei 1969.
Dalam
erti kata lain, bahasa adalah satu-satunya entiti yang boleh digunakan
untuk mencapai pelbagai tujuan dan antaranya bahasa boleh dijadikan
wahana mengungkapkan sesuatu kebudayaan, penanda identiti sesebuah
kelompok etnik dan kuasa untuk penyatuan politik sesebuah negara. Apatah
lagi, negara Malaysia dikongsi bersama oleh masyarakat majmuk yang
mempunyai bahasa dan budayanya yang tersendiri.
Namun,
kenyataan Tan Sri Muhyiddin Yassin, Timbalan Perdana Menteri merangkap
Menteri Pelajaran baru-baru ini yang mengatakan bahawa bahasa Melayu
kian terpinggir di bumi sendiri kerana sikap malu dan rendah diri
masyarakat untuk bertutur menggunakan bahasa Melayu nyata menimbulkan
polemik baharu.
Polemik
terbaharu ini seolah-olah menggambarkan bahawa bahasa Melayu tidak ada
kelas, bukan bahasa yang maju seperti bahasa Inggeris dan tidak boleh
diangkat ke peringkat global. Kempen “Cintai Bahasa Kita”, “Bahasa Jiwa
Bangsa”, “Bahasa Menunjukkan Bangsa” dan seumpamanya yang diadakan oleh
kerajaan seperti tidak membawa sebarang impak yang diingini.
Pengarah
Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) Cawangan Sabah, Tuan Zubaidi Abas ketika
diminta mengulas kenyataan Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, bukan
orang Melayu atau masyarakat negara ini malu untuk bertutur bahasa
Melayu tetapi mereka malu apabila dilihat tidak pandai berbahasa
Inggeris. Ini kerana, mereka mahu dilihat sebagai orang bandar, moden
dan terpelajar.
Tambah
beliau, mengenai cadangan Muhyiddin untuk menganjurkan semua majlis
rasmi negara di semua peringkat dalam bahasa Melayu boleh dilakukan
tetapi tidak tercatat dalam Perlembagaan negara ini. Keadaan ini berbeza
dengan negara Indonesia yang mewajibkan Presidennya bertutur dalam
Bahasa Indonesia tidak kira di mana beliau berada.
Justeru,
menyedari akan pentingnya mengangkat bahasa Melayu di mata dunia, maka
Kementerian Penerangan, Komunikasi dan Kebudayaan mengadakan Program
Pembudayaan Bahasa yang dilancarkan baharu-baharu ini. Program ini yang
antara lainnya bertujuan memastikan tahap penggunaan bahasa Melayu
sebagai bahasa negara berlaku dalam kuantiti yang banyak dan kualiti
yang baik tidak kira dalam sektor awam mahupun swasta dilihat sebagai
satu langkah tepat dan kena pada masanya.
Bagi
Zubaidi pula, usaha mengangkat bahasa Melayu ini adalah murni tetapi
kejayaan langkah ini bergantung kepada iltizam politik iaitu harus
disusuli dengan tindakan yang jitu dan bukan sekadar cakap kosong
sahaja.
Lambang jati diri nasional
Untuk
tujuan kenegaraan, bahasa boleh dijadikan lambang kepada jati diri
nasional serta nasionaliti sesebuah negara. Ia boleh juga digunakan
untuk mengungkapkan etos kebangsaan dan membangkitkan semangat
kebangsaan.
Sehubungan
ini, bahasa yang digunakan untuk mendukung fungsi kenegaraan adalah
bahasa yang dimiliki dan dikongsi bersama. Lazimnya hanya satu bahasa
yang digunakan untuk tujuan kenegaraan. Ini adalah kerana gagasan
pemilikan dan perkongsian hanya satu bahasa didapati amat berkesan,
khususnya ketika melaksanakan fungsi penyatuan dan kemajuan nasional
yang dilakukan secara sekali gus. Dua fungsi ini yang didapati saling
melengkapi didukung oleh bahasa yang sama.
Sebagai
bahasa negara, bahasa Melayu mendukung dua fungsi. Pertama sebagai
bahasa kebangsaan dan kedua sebagai bahasa rasmi. Sebagai bahasa
kebangsaan, bahasa Melayu adalah lambang jati diri nasional dan
nasionaliti Malaysia, selain penanda kesatuan rakyat. Selaku bahasa
rasmi pula, Bahasa Melayu adalah alat untuk memajukan rakyat dan negara.
Walaupun
Malaysia memilih dan menggunakan bahasa Melayu sebagai bahasa negara,
penggunaan bahasa etnik, misalnya Mandarin dan Tamil dibenarkan dalam
sistem pendidikan nasional. Di mana-mana negara di seluruh dunia,
pendidikan dijadikan dan memang pun menjadi alat penting untuk
menyatupadukan rakyat, khususnya dalam membentuk jati diri nasional dan
nasionaliti dalam kalangan rakyat, selain memajukan rakyat dan negara.
Malaysia tidak terkecuali dalam hal ini.
Di
Malaysia, kita mempercayai dan meyakini bahawa penggunaan bahasa Melayu
dalam kapasitinya sebagai bahasa negara sebagai satu-satunya bahasa
pengantar utama, adalah kaedah terbaik untuk menyatupadukan rakyat yang
berbilang kaum dan seterusnya memajukan rakyat dan negara.
Sehubungan
ini, penggunaan bahasa Melayu sebagai bahasa pengantar utama
bersama-sama dengan bahasa etnik seperti Mandarin dan Tamil sebagai
bahasa pengantar sampingan dipercayai dan diyakini dapat membentuk
1Semangat Kebangsaan dan 1Jati Diri Nasional, yang lebih menyeluruh
sifatnya dalam kalangan rakyat Malaysia.
Ini
bermakna dalam keseluruhan itu, semangat dan jati diri etnik Cina dan
India itu yang dipupuk menerusi pendidikan vernakular dan pengamalan
budaya dan warisan etnik, hendaklah diletakkan di bawah tempat
bertakhtanya semangat kebangsaan dan jati diri nasional. Dengan
perkataan lain, semangat kebangsaan dan jati diri nasional hendaklah
dipastikan selalu berada dan diletakkan di atas semangat dan jati diri
etnik.
Semangat
kebangsaan dan jati diri nasional itu perlu berlandas kepada simbol dan
proses sosiobudaya Melayu. Ini adalah kerana ia dipersetujui dalam
Perjanjian Etnik/ Kontrak Sosial yang dimeterai ketika kita mencapai
kemerdekaan pada 1957. Antara simbol dan proses sosiobudaya Melayu itu
ialah bahasa Melayu yang dipilih untuk menjadi bahasa negara ini.
Dalam
konteks kenegaraan, bahasa Melayu selaku bahasa negara ini dalam
kapasitinya sebagai bahasa kebangsaan dan bahasa rasmi adalah maruah
negara, antaranya jati diri nasional dan nasionaliti Malaysia.
Sehubungan ini, memalukan sekali sekiranya masih ada, walaupun seorang
rakyat Malaysia tidak boleh atau tidak mahu berbahasa Melayu,
lebih-lebih lagi dalam kalangan golongan pasca merdeka.
Perkara
sebegini pernah dilaporkan. Antaranya membabitkan seorang wanita Cina
yang berusia 51 tahun tidak boleh dan tidak mahu berbahasa Melayu, iaitu
bahasa negara ini dan terus berbahas Inggeris apabila memberi
keterangan ketika membuat laporan mengenai tas tangannya diragut, di
Balai Polis Sentul, Kuala Lumpur.
Tindakan
wanita ini ditegur oleh pegawai polis Melayu yang mengambil keterangan
dan tegurannya itu yang dianggap perkauman sehingga beberapa pihak
mendesak agar tindakan tegas diambil terhadapnya. Desakan untuk
menghukum ini menunjukkan ramai yang gagal melihat isu sebenarnya di
sebalik teguran itu.
Teguran
itu sebetulnya adalah manifestasi kekecewaan yang kemudian menjadi
kemarahan orang Melayu selaku kaum dominan, terhadap sesetengah rakyat
Malaysia yang masih tidak nasional pada diri mereka. Antaranya termasuk
keengganan menggunakan bahasa Melayu, iaitu bahasa negara ini, khususnya
dalam urusan rasmi.
Sehubungan
itu, jati diri nasional dan nasionaliti Malaysia bergantung sepenuhnya
kepada Bahasa Melayu selaku bahasa negara ini. Bahasa negara sebetulnya
adalah sebahagian yang amat penting dalam mana-mana nasionaliti di dunia
ini.
Dalam
kes kerakyatan negara Malaysia, bahasa Melayu adalah juga bahagian yang
penting. Malah, pengetahuan dan penguasaan bahasa Melayu diuji kepada
mana-mana pihak yang memohon kerakyatan Malaysia pada masa dulu ketika
kemerdekaan dan juga pada masa kini.
Komen
balas daripada sesetengah rakyat Malaysia mengenai peristiwa ini, dalam
bentuk surat pembaca di akhbar dan juga dalam media baharu,
memperlihatkan bahawa jahilnya sebilangan rakyat Malaysia mengenai jati
diri nasional dan nasionaliti Malaysia. Ia mempunyai kaitan rapat dengan
Bahasa Melayu selaku bahasa negara dalam kes ini.
Masanya
sudah tiba untuk memperbetulkan kejahilan ini dalam kalangan rakyat
Malaysia. Ia boleh dan mesti dilakukan melalui Program Pembudayaan
Bahasa ini untuk memupuk perasaan bangga, sayang dan setia kepada bahasa
Melayu selaku bahasa negara ini. Sebagai seorang warganegara, menjadi
tanggungjawab kita tanpa mengira kaum untuk memartabatkan dan
mendaulatkan bahasa kebangsaan kita ini dan ini adalah perkara asas.
Sumber : Berita Harian/Dewan Bahasa dan Pustaka Cawangan Sabah.